Sejarah penubuhan WINGS bermula pada sekitar tahun 1985 di Sekolah Menengah Sri Ampang di Kuala Lumpur. Di situ empat orang anak muda yang masih menuntut bergabung tenaga membentuk sebuah pancaragam sekolah. Oleh kerana terdorong dan amat meminati muzik terutama irama Rock, mereka sepakat untuk mendendangkan lagu berentak Rock'N'Roll di sepanjang persembahan mereka. Ketika itu bermulah kelahiran WINGS walaupun kumpulan ini belum mempunyai nama.
Pada awal tahun 1987, Wings mendapat tawaran untuk merakamkan album dibawah label ASP dan nama WINGS digunakan sebagai nama kumpulan ini. Ilham penggunaan nama WINGS sebagai nama kumpulan dicetuskan Awie apabila orang ramai selalu menegurnya kerana lengannya yang berotot atau lebih tepat seperti 'sesayap' (wing). WINGS bertungkus-lumus menyiapkan album pertama mereka berjudul Belenggu Irama dengan bantuan dua anggota baru iaitu Eddie dan Black (merupakan bekas anggota asal Kumpulan Babylon) yang menggantikan tempat Jojet dan Jo selain Awie dan Syam selaku anggota asal. Pada masa itu, pengurus WINGS adalah Ali Bakar.
Ketika muzik rock mula mendapat tempat, kemunculan sebuah kumpulan seperti WINGS sememangnya menghangatkan arena muzik rock tanah air. WINGS tampil dengan kelainan tersendiri dengan muzik yang dibawakan mereka cukup mantap walaupum ini adalah album pertama.
Dengan susunan muzik yang baik dan vokal yang bertenaga serta dibantu penggubah terkenal seperti M.Nasir, J S Kevin, pertarungan pertama WINGS di persada seni tanah air menampakkan hasil apabila album ini mendapat sambutan menggalakkan. Walaupun mereka terpaksa berdepan dengan masalah iaitu lagu mereka tidak dibenar penyiarannya di radio dan TV oleh RTM, pencinta muzik rock tetap dapat merasai bahang 'Belenggu Irama'.
Lagu seperti 'Belenggu Irama', 'Intan Ku Kesepian' dan 'Peronda Jaket Biru' adalah antara lagu yang menjadi kegilaan remaja Malaysia ketika itu. Pihak RTM tidak memberi kelulusan penyiaran terhadap lagu WINGS atas alasan lirik, lagu dan latar belakang WINGS yang dikatakan keterlaluan dan tidak menepati syarat untuk disiarkan.
Halangan ini sedikit sebanyak menghantui diri mereka. Namun, berkat ketabahan dan sokongan rakan dan peminat yang berdiri teguh di belakang, WINGS berjaya menempuh segala dugaan dan cabaran. Album ini terjual lebih 150,000 unit.
Selepas itu, populariti WINGS terus meningkat. Konsert mereka sentiasa mendapat perhatian ramai dan rata-rata peminat amat terhibur dengan persembahan WINGS yang mantap dan mempunyai identiti tersendiri.
]
Anugerah
1. Tempat Kedua dan Ketiga Persembahan Terbaik - Juara Lagu 1989
Dua lagu dari album Hukum Karma iaitu Taman Rasyidah Utama dan Misteri Mimpi Syakilla layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu. Persembahan Wings pada malam itu cukup menarik walaupun baru pertama kali melayakkan diri ke peringkat akhir. Menerusi dua lagu itu, mereka memenangi tempat kedua dan ketiga dalam kategori persembahan terbaik.
2. Tempat Ketiga Lagu Terbaik, Juara Persembahan Terbaik - Juara Lagu 1990
Selepas album Hukum Karma menaikkan nama WINGS di persada seni tanah air, dua tahun berturut-turut mereka mara ke peringkat akhir Juara Lagu. Kali ini mereka mempertaruhkan lagu Sejati dari album Teori Domino.
Seperti yang diramal, lagu ini memenangi anugerah persembahan terbaik dan tempat ketiga dalam kategori lagu terbaik.
3. Anugerah Rakaman Album Terbaik - Anugerah Industri Muzik (AIM) 1993
Pada tahun pertama Anugerah Industri Muzik ini, album WINGS `Bazooka Penaka` menerima pencalonan paling banyak dalam pelbagai anugerah selain dari album `Double Trouble`. Bagaimanapun, hanya satu anugerah yang dimenangi WINGS iaitu Anugerah Rakaman Album Terbaik.
4. Anugerah Kulit Album Terbaik - Anugerah Industri Muzik 1996
Pada kali ini, WINGS memenangi Anugerah Kulit Album terbaik menerusi album Biru Mata Hitamku, album pertama yang menampilkan Mus sebagai vokalis. Rekabentuk kulit album dihasilkan Bombay. Ia cukup menarik sejajar dengan tajuk album dengan logo WINGS yang di tengahnya diletakkan sepasang mata yang mata hitamnya berwarna biru. Di tepinya terdapat satu pantulan cahaya dan latarbelakang kulit album ini ialah bentuk 3D logo Wings berwarna biru.
Carta 10 Lagu Popular Wings
10. Perhentian
9. Biarkan berlalu
8. Misteri Mimpi Syakila
7. Opera hidup
5. Potret Monalisa
4. Hukum Karma
3. Intan ku kesepian
2. Sejati
1. Bujang Senang
No comments:
Post a Comment